Tuesday, August 25, 2009

Peranan Belia sebagai Sumber Mata Air Kebangkitan Ummah


Seperti mana yang kita ketahui para belia pada masa kini banyak terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa ditambah pula dengan konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh nagara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah umat Islam seluruh negara. Para belia yang ditarbiyah memainkan peranan yang amat penting supaya akidah umat Islam akan terus terpelihara. Ini kerana para belia inilah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara seterusnya mencorakkannya menjadi sebuah negara islam yang unggul. Ingatkah lagi kita pada kegemilangan pemerintahan islam suatu masa dahulu di mana islam berkembang di dua pertiga dunia!

Para belia yang ditarbiyah harus memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej pelajar yang ditarbiyah di IPT atau di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, menjaga batas-batas aurat, serta menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar. Selain itu, perkara yang amat perlu dititikberatkan ialah menjaga batas-batas aurat serta pergaulan. Terapkan unsur-unsur pemakaian yang menepati tuntutan syariat Islam yang benar kepada sahabat-sahabat kita. Elakkan diri daripada terjebak dalam masalah ‘couple’. Inilah peranan belia yang ditarbiyah untuk menyeru kepada kebaikan dengan contoh teladan serta akhlak yang baik.

Para belia yang ditarbiyah perlu menjadi pendengar yang baik. Suasana di IPT yang memaksa kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia adalah lumrah kehidupan sebenarnya. Oleh itu, kita digalakkan mencari teman yang baik. Walau bagaimanapun, bersilaturrahimlah meramaikan kawan seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Jadilah seseorang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Manfaat yang dimaksudkan mungkin dari segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya. Memetik kata-kata dari sebuah hadis, ’Allah menolong kita selagi mana kita menolong orang lain.’ Apabila ada dalam kalangan sahabat datang kepada kita untuk meluahkan masalahnya bermakna kita telah menjadi seorang sahabat atau individu yang boleh dia percayai. Di sinilah, kita sebagai pelajar yang ditarbiyah harus berperanan untuk cuba menaikkan semangatnya dan membawanya ke jalan tarbiyah. Namun sebelum itu, carilah teman dan jagalah hubungan baik dengan rakan-rakan sebanyak-banyaknya.

Belia yang ditarbiyah perlu menjadi pemimpin, sekurang-kurangnya terhadap dirinya sendiri. Jadilah pemimpin yang berwibawa. Belia yang ditarbiyah seharusnya mampu menjadi seorang pemimpin yang berketrampilan baik dari segi sahsiah dan akademik yang cemerlang di IPT. Jadikan al-Quran sebagai teman yang paling akrab. Marilah sejenak kita telusuri rahsia kegemilangan seorang tokoh kegemilangan Islam iaitu Sultan Muhammad al-Fateh. Pernahkah kita bertanya bagaimana sampai al-Fateh mampu menjadi seorang panglima terbaik bagi pasukan tentera terbaik lantas menjadikan hadith Rasulullah 7 abad sebelumnya sebagai realiti bagi dirinya? Kuncinya ialah al-Fateh menyiapkan hidupnya untuk melaksanakan misinya untuk menjadi orang yang disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w. Kalau tidak menjadi panglimanya, sekurang-kurangnya menjadi seorang tentera dari pasukan terbaik sebagai matlamatnya. Sultan Muhammad al-Fateh hanya mempersiapkan dirinya menjadi yang terbaik semampunya. Tapi persiapannya bermula awal, sejak sebelum baligh hingga berjaya menyumbang untuk kemenangan Islam.

Tiada apa yang mustahil bila kita menetapkan matlamat, kemudian mencurahkan segenap kemampuan untuk mencapai matlamat tersebut. Tetapkan target, tanamkan semangat membara, bekalkan hati dengan nurani rabbaniyyah dan seterusnya penuhi diri dengan ilmu dan disiplin ketaatan. Bermula daripada tarbiyah diri sendiri sehingga akhirnya tertegaknya kebenaran di muka bumi ini. Seperti kata seorang mursyid “tegaklah Islam dalam dirimu, nescaya akan tertegak di negerimu.” Namun harus diingat bahawa tarbiyah hanyalah merupakan satu proses yang tiada akhirnya, iaitu belajar serta mengajarkan. Kitalah yang menggerakkan proses tarbiyah hingga menghasilkan perubahan tidak hanya pada diri sendiri, malah kepada semua yang berhubungan langsung dengan diri kita, sehingga sibghatullah-pencelupan Allah mewarnai ummat di bumi ini dengan nur Islam yang hakiki. Hanya jalan tarbiyah sebagaimana yang dijalani oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat yang mampu menjadi landasan terbaik bagi membentuk para pelajar menjadi muslimin dan muslimah sejati.

Ingatlah bahawa Umar al Khattab RA pernah berkata kepada sahabatnya: “Impikanlah! ….”Aku mengimpikan negeri ini dipenuhi RIJAL seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim (hamba Abu Huzaifah). Lalu aku meminta tolong dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah.” Inilah sebenarnya modal untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda yang sanggup meletakkan hidupnya demi Islam jauh lebih berharga dari dunia dan seisinya. Belia yang ditarbiyah merupakan modal tak ternilai untuk kejayaan pembentukan khairu ummat demi kegemilangan Islam sejagat. ‘Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyeru yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah’-(QS3:110). Segalanya bermula daripada diri individu yang ditarbiyah. “Generasi muda ialah rahsia kehidupan ummat dan sumber mata air kebangkitannya. Sejarah ummat ialah sejarah para tokoh yang dilahirkannya, yang memiliki aqliyah yang kuat dan ruh yang membara. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh – tokoh yang memenuhi syarat rijal yang sebenarnya…” (Al Banna: Hal Nahnu Qaumun Amaliyun)

Sumber : http://halaqah-online.com