Tuesday, March 17, 2009

Ceramah Maulidur Rasul KTR meriah


KTR,9 MAC: KELAB STAR dengan kerjasama Lujnah Pendidikan & Kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM) telah berjaya menganjurkan satu program sempena Sambutan MaulidurRasul 1430H. Sebuah Ceramah yang bertajuk, “Kelahiran Kekasih Allah Yang DiNanti” telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zulkiflee Bin Hj.Haron Al-Jauhariyy. Beliau merupakan seorang pensyarah dari Pusat Pembangunan Islam & Pembangunan Sosial (PPIPS). Program tersebut diadakan pada tanggal 9 Mac 2009 bertempat di Dewan Tun Rahah, Kolej Tun Razak. Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Program ini telah berjaya menarik kira-kira 200 orang Mahasiswa dan Mahasiswi UTM untuk turut serta dalam program tersebut.




Program tersebut dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Yuslan Bin Md. Yusof. Pada program tersebut, Al Fadhil Ustaz Zulkiflee Bin Hj. Haron Al-Jauhariyy menyentuh beberapa aspek penting seperti peristiwa-peristiwa keajaiban sewaktu kelahiran Nabi Muhammad SAW, dan kronologi perjalanan hidup Rasulullah SAW sehinggalah detik-detik kewafatan Nabi Muhammad SAW. Al Fadhil Ustaz turut menyentuh isu-isu berkenaan sejarah sambutan Maulidur Rasul dan kepentingannya umat Islam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.






Sejarah telah memperlihatkan para pemerintah Daulah Islamiyyah seperti Malik Muzaffar abu Syed Kukabri Al-Iraqi telah mengadakan sambutan majlis Maulidur Rasul SAW secara besar-besaran pada tiap-tiap tahun pada zaman pemerintahan mereka. Begitu juga para auliya’ dan Ulama’ Islam telah menjadikan Majlis Maulid SAW sebagai jalan membimbing diri kepada mencintai dan mencontohi Rasulullah SAW.


Para Ulama’ yang Mu’tabar seperti Amirul Mukminin Ibnu Hajar Al-Asqolani, Al-Hafiz Imam Shakrawi, Al-Mufassir Imam Sayuti, Al-faqih Sheikh Abu Samah, Al-Imam Nawawi dan lain-lain lagi semuanya telah mempersepakati bahawa amalan Maulid Nabi SAW digalak dan dituntut bagi mendatangkan kesyukuran di atas kelahiran junjungan mulia SAW yang sewajarnya melahirkan kecintaan dan mencontohi akhlak dan perjuangan Rasulullah SAW.


Majlis sambutan Maulidur Rasul diteruskan lagi dengan sesi “Selayang Pandang” iaitu persembahan montaj bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Sedikit sebanyak memaparkan siri-siri perjuangan Rasulullah SAW dalam usaha menyebarkan Islam dan menjadi satu santapan motivasi bagi para da’ie yang menjadi mata rantai perjuangan Baginda SAW.

Program sambutan Maulidur Rasul ini, yang telah menghimpunkan masyarakat Islam kampus, di samping memperdengarkan ayat-ayat suci tentang kelebihan Rasulullah SAW, menceritakan sirah perjuangan Baginda, memuji dan mengucapkan selawat ke atas Baginda, dan mendoakan kesejahteraan ummah mampu mencetuskan semangat kebangkitan Ummah Islam pada hari ini.


Maka, alunan Qasidah Muhammadiyyah yang mampu meruntun jiwa hamba yang mencintai Rasulullah SAW menjadi acara penutup pada Majlis sambutan Maulidur Rasul pada program tersebut. Alunan Qasidah Muhammadiyyah diketuai oleh saudara Muhammad Hafidzuddin Bin Misbah selaku Pengerusi Kelab STAR dan saudara Firdaus Bin Abdul Rahman selaku Timbalan Presiden PMIUTM diiringi oleh beberapa orang sahabat yang lain. Para hadirin turut sama mengalunkan Qasidah Muhammadiyyah.



Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada Al-Fadhil Ustaz Zulkiflee Bin Hj. Haron Al-Jauhariyy oleh Felo Kolej Tun Razak diiringi oleh Pengarah Program saudara Tuan Mohd Khairi Bin Tuan Soh. Seterusnya, pihak penganjur mengucapkan Jazakallahu Khiran Jaza’ kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam program ini juga kepada hadirin dan hadirat yang turut sama menjayakan program pada malam itu. Akhir kalam, sama-sama kita meningkatkan kecintaan dan mencontohi peribadi mulia Baginda SAW yang merupakan Qudwah Hasanah sepanjang zaman. Wallahu A’lam…


-Menjana Mahasiswa Soleh Wa Musleh-

Monday, March 16, 2009

25 Pesanan Luqmanul Hakim

  1. Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
  2. Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.
  3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
  4. Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
  5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
  6. Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
  7. Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
  8. Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
  9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
  10. Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
  11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
  12. Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
  13. Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
  14. Makanlah makananmu bersama sama dengan orang - orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
  15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
  16. Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.



  17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
  18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
  19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ (riak) yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
  20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
  21. Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
  22. Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.
  23. Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
  24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
  25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
Sumber : iluvislam.com

Tuesday, March 10, 2009

10 perkara wajib pada seorang pendukung gerakan ISLAM

1. Salimul Aqidah
Aqidah yang bersih (salimul aqidah) merupakan sesuatu yang harus ada pada setiap muslim. Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah SWT dan dengan ikatan yang kuat itu dia tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan-ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang ertinya: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam" (QS 6:162).
Kerana memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da’wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah SAW mengutamakan pembinaan aqidah, iman atau tauhid.

2. Shahihul Ibadah
Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul SAW yang penting, dalam satu hadisnya baginda menyatakan : “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”. Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah Rasul SAW yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.

3. Matinul Khuluq
Akhlak yang baik (matinul khuluq) atau akhlak yang mulia merupakan sikap dan perilaku yang harus dimiliki oleh setiap muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah mahupun dengan makhluk-makhluk-Nya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apalagi di akhirat.
Kerana begitu penting memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah SAW ditutus untuk memperbaiki akhlak dan beliau sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran, Allah berfirman yang ertinya : "Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung" (QS 68:4).

4. Qowiyyul Jismi
Kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani bererti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optima dengan fizikalnya yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizikal yang sihat atau kuat, apalagi perang di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya. Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi. Kerana kekuatan jasmani juga termasuk yang penting, maka Rasulullah SAW bersabda yang ertinya : "Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah" (HR. Muslim).

5. Mutsaqqoful Fikri
Intelek dalam berfikir (mutsaqqoful fikri) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang penting. Kerana itu salah satu sifat Rasul adalah fatonah (cerdas) dan Al-Quran banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah yang ertinya: "Mereka bertanya kepadamu tentang, khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “Yang lebih dari keperluan”. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir" (QS 2:219).
Di dalam Islam, tidak ada satu pun perbuatan yang harus kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan aktivii berfikir. Kerananya seorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Bisa kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu. Oleh kerana itu Allah mempertanyakan kepada kita tentang tingkatan intelektualiti seseorang sebagaimana firman-Nya yang ertinya : "Katakanlah: “samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran" (QS 39:9).

6. Mujahadatul Linafsihi
Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatul linafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri seorang muslim, kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada manakala seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsu.
Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus diupayakan tunduk pada ajaran Islam, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya : "Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam)" (HR. Hakim).

7. Harishun Ala Waqtihi
Pandai menjaga waktu (harishun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini kerana waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT banyak bersumpah di dalam Al-Quran dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya.
Allah SWT memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama setiap, yakni 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tak sedikit manusia yang rugi. Kerana itu tepat sebuah semboyan yang menyatakan : “Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu”. Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi.
Oleh kerana itu setiap muslim amat dituntut untuk memanfaatkan waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tak ada yang sia-sia. Maka di antara yang dinyatakan oleh Nabi SAW adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, yakni waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, senggang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.

8. Munazhzhamun fi Syuunihi
Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Quran mahupun sunnah. Oleh kerana itu dalam hukum Islam, baik yang terkait dengan masalah ubudiyah mahupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya.
Dengan kata lain, suatu urusan dikerjakan secara profesional, sehingga apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian darinya. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban, adanya kontinuiti dan berbasih ilmu pengetahuan merupakan di antara yang mendapat perhatian secara serius dalam menunaikan tugas-tugasnya.

9. Qodirun Alal Kasbi
Memiliki kemampuan usaha sendiri atau yang juga disebut dengan mandiri (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya baru bisa dilaksanakan manakala seseorang memiliki kemandirian, terutama dari segi ekonomi. Tak sedikit seseorang mengorbankan prinsip yang telah dianutnya kerana tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi. Kerana itu peribadi muslim tidaklah mesti miskin, seorang muslim boleh saja kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia bisa menunaikan haji dan umrah, zakat, infaq, sedakah, dan mempersiapkan masa depan yang baik. Oleh kerana itu perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Quran mahupun hadis dan hal itu memiliki keutamaan yang sangat tinggi.
Dalam kaitan menciptakan kemandirian inilah seorang muslim amat dituntut memiliki keahlian apa saja yang baik, agar dengan keahliannya itu menjadi sebab baginya mendapat rezeki dari Allah SWT kerana rezeki yang telah Allah sediakan harus diambil dan mengambilnya memerlukan skill atau keterampilan.

10.Nafi’un Lighoirihi
Bermanfaat bagi orang lain (nafi’un lighoirihi) merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim. Manfaat yang dimaksud tentu saja manfaat yang baik sehingga di manapun dia berada, orang di sekitarnya merasakan keberadaannya kerana bermanfaat besar. Maka jangan sampai seorang muslim adanya tidak menggenapkan dan tidak adanya tidak mengganjilkan. Ini bererti setiap muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berupaya semaksima untuk bisa bermanfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai seorang muslim itu tidak bisa mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya. Dalam kaitan inilah, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya : "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain" (HR. Qudhy dari Jabir).

Wallahu'alam.

Sumber : http://alumniirfaan.blogspot.com

Monday, March 9, 2009

Kekasih Allah yang dinanti

Baginda Nabi Muhammad s.a.w adalah pemimpin agung yang maksum daripada segala dosa, menunjukkan jalan kebenaran dan berjuang menegakkan agama Allah. Namun, di saat kematiannya, Saidina Ali menyebut, beliau masih ingat wajah pemimpin agung itu yang terkumat-kamit membaca doa kepada Allah kerana kesakitan. Baginda meminta Aisyah membawa sejeluk air untuk diusapkan ke wajahnya lalu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku, tolong ringankan aku daripada berperang dengan azab Sakaratul Maut!“.

Pada saat itu juga Malaikat Jibril datang dan melihat. Jibril terkilan melihat kesakitan yang dialami oleh baginda dan mengadu kepada Allah, ” Ya Allah..itu kekasih Kamu! Kenapa begitu azab kesakitan yang engkau berikan di saat kematiannya?“. Lalu Allah menjawab, “Ya Jibril…itulah sesempurna kematian!”. Sesempurna kematian seorang yang paling sempurna di sisi Allah pun sebegitu azab! Cuba bayangkan diri kita yang bakal menghadapi kematian kelak? Cuba bayangkan anak-anak kita, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat-sahabat sekalian. Cuba bayangkan mereka-mereka yang tidak pernah mendirikan sembahyang dan sentiasa memperlekehkan urusan agama! Kesakitan yang bakal kita hadapi berkali ganda lebih teruk daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Namun, apa yang baginda sebut di saat kewafatannya? Dalam keadaan yang begitu tersiksa baginda berdoa, “Ya Allah, kalaulah begini sakitnya azab menghadapi kematian, Kau himpunkanlah kesakitan seluruh umatku, biarlah kutanggung seorang kesakitan ini!”. Kasih sayang Nabi kepada kita begitu kuat sehingga baginda sanggup untuk menanggung kesakitan kita semua seluruh umatnya. Tetapi sayang, kita tidak pernah mengambil tahu pasal Nabi. Kita buat tak endah dengan ajaran Nabi. Kita sering melupakan Nabi. Kita lalai dengan kasih sayang kepada dunia. Alangkah malangnya kita ! ”Ya Allah…, Ya Nabi Allah…. maafkan kami, ampunkanlah kami !”.

Tiga pesanan terakhir baginda kepada kita di saat kewafatannya, baginda menyebut “Ummati..ummati…” yang bermaksud umatku...umatku. Mesejnya ialah baginda sayangkan kita semua umatnya. Yang kedua baginda menyebut “Jangan tinggal solat!” dan yang ketiga “Wanita…wanita…lindungi wanita!” Lindungi wanita sama ada dari fizikal dan rohaninya. Bukan dedahkan wanita dengan pakaian yang kurang sopan, pergaulan bebas, perzinaan dan sebagainya !

Sempena Maulidul Rasul 1430 H ini, marilah sama-sama kita mengingati Nabi kita, bukan sahaja kepada sirahnya tetapi juga dalam amalan ibadat kita. Jangan sekadar mengingati Nabi sekadar musim-musim tertentu sahaja. Ambillah pesanan Nabi sebagai panduan dan amalkannya dalam kehidupan seharian kita.

Wallahu’alam.

Sumber : wanwmablog.com