Friday, February 13, 2009

Doktrin Zionis !!!

Oleh : Muhammad Hafidzuddin bin Misbah
http://tintamurabbi.blogspot.com

Kalimah tayyibah, Alhamdulillah dirafa’kan seinfinitinya kehadrat Rabbul Jalil atas segala nikmat yang dianugerahkan atas sifat Rahman dan Rahim-NYA. Seluas lautan selawat serta salam dihadiahkan buat junjungan mulia, Rasulullah S.A.W, para ahli bayt, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in, dan seterusnya para muslimin dan muslimat seluruhnya. Salam perjuangan dan ukhuwwah buat sahabat-sahabat seaqidah dan seperjuangan yang telah banyak berkorban demi menyemarakkan tarbiah dan dakwah di bumi Allah S.W.T

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat illahi kerana rahmat dan ‘inayah-NYA,Kelab STAR bagi sesi 2009 dengan izin-NYA telah berjaya meneruskan kesinambungan tarbiyah dan dakwah di Kolej Tun Razak. Seruan dakwah wajib dilaungkan, lantas pelbagai medium menjadi saluran agar tuntutan tersebut dapat direalisasikan.

PALESTIN TANAH WAKAF UMAT ISLAM
Jenayah kejam rejim Zionis di Palestin bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah peradaban dunia. Pasca Deklarasi Balfour 1917 menyaksikan penghijrahan Yahudi Eropah dan Rusia ke bumi Palestin melalui perancangan yang sistematik sehingga terhakis sedikit demi sedikit bumi palestin dari peta dunia moden. Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Ingatlah sahabat-sahabat, sayyidina Umar al-Khattab telah mengisytiharkan bahawa bumi Palestin adalah tanah wakaf umat Islam sehingga ke akhir zaman.

Sehingga kini, isu-isu di Palestin tidak pernah luput dek zaman, media cetak mahupun media elektonik turut memaparkan isu-isu yang berlaku,kesan daripada serangan terbaru rejim zionis sangat memilukan hati umat Islam seluruhnya. Keganasan Israel terhadap Gaza kali ini merupakan pembunuhan terbesar dalam sejarah. Mangsa Palestin yang terkorban seramai 1317 orang, manakala yang cedera mencecah 5340 orang. Ribuan nyawa terkorban dan jutaan jiwa terkepung dalam serangan musuh. Jangan kita sekadar melihat air mata Palestin, tetapi turut merasai penderitaannya. Tangisan anak-anak kecil yang tidak berdosa sungguh meruntun jiwa,berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Walaupun tentera rejim zionis Israel telah meninggalkan Gaza, bukan bermakna penderitaan Gaza dan Palestin telah berakhir. Gaza dan Palestin masih lagi terjajah. Ayuh,bangkitlah cucu-cicit Salahuddin Al-Ayubi,cucu-cicit Sultan Muhammad Al-Fateh! Selamatkan Palestin…

VALENTINE’S DAY PROPAGANDA BARAT
Tanggal 14 Februari merupakan tarikh yang ‘significant’ khususnya di Amerika dan Eropah yang kononnya hari bagi menyatakan kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Inilah "Hari Kekasih" yang tidak dapat dinafikan, umat Islam di negara ini turut sama meraikannya.
Secara umumnya, pada hari tersebut masyarakat di Barat meraikannya dengan saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mendendangkan lagu-lagu cinta, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko, minum arak, makan malam bersama dipayungi cahaya lilin, meluahkan perasaan di taman-taman bunga sehingga akhirnya saling berkucupan dan akhirnya sanggup menggadai maruah dan kehormatan sendiri demi membuktikan kesetiaan terhadap pasangan masing-masing, sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah di sisi agama.

“Hari Kekasih” yang dibawa oleh Barat hanya merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam terutama sekali golongan pemuda-pemudi atau remaja Islam. Senario hari ini menyaksikan, kebanyakan golongan remaja Islam menyambut “Hari Kekasih”. Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah memfatwakan bahawa ;
“Amalan merayakan Hari Kekasih (Valentine’s Day) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan Tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang oleh Islam. Oleh itu, Umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut”.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,
Persoalan yang pertama, apakah perkaitan antara isu Palestin dan Valentine’s Day? Persoalan yang kedua, apakah peranan kita sebagai umat Islam dalam konteks seorang Mahasiswa terhadap kedua-dua isu terbabit? Firman Allah yang bermaksud;

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka…” (Surah Al-Baqarah : 120)

Golongan Yahudi telah lama memusuhi umat Islam dan segala perancangan-perancangan jahat telah disusun rapi bagi menghancurkan umat Islam sama ada secara terang-terangan mahupun secara halus. Golongan Yahudi membawa masuk budaya-budaya barat secara halus ke seluruh negara umat Islam. Budaya hedonisme di kalangan remaja-remaja Islam,sambutan Hari Kekasih dan sebagainya merupakan senjata ampuh Yahudi yang hendak memesongkan aqidah umat Islam. Jelas membuktikan bahawa, matlamat golongan Yahudi hanya untuk menghancurkan Islam.

Tingkatkan sensitiviti kita terhadap isu-isu umat Islam. Usah dirasakan usaha kita sangat kerdil, tidak mampu memberi sebarang kesan. Yakinilah bantuan daripada Allah S.W.T dan bersangka baiklah dengan Allah, nescaya Allah bersama hambaNya yang bersangka baik dan mentaati-Nya. Sebuah hadis qudsi ertinya ;

"Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu " (Riwayat Muslim)

Sungguhpun usaha kita tidak sehebat saudara kita di Palestin, namun sebagai Mahasiswa Islam, kita perlu melakukan sesuatu. Bantuan harta, doa, qunut nazilah, solat hajat, boikot dan sebagainya.

Sudah menjadi Sunnatullah, setiap permulaan ada akhirnya. Tahniah dan takziah buat saf pimpinan Kelab STAR 2009 yang dilantik, semoga anda dapat melaksanakan amanah yang ditaklifkan dengan baik.
Wallahu ‘Alam…

Thursday, February 5, 2009

Qaidah Sulbah

Perkongsian oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor (Presiden GAMIS).

Qaidah Sulbah adalah satu elemen penting dalam jamaah. Dalam istilah lain, ia boleh juga digelar sebagai prime mover, atau kumpulan elit, atau think-tank. Sesebuah jamaah memerlukan kumpulan ini untuk melancarkan gerak kerja sesebuah gerakan sama ada gerakan Islam atau mana-mana gerakan sekalipun.

Nabi Muhammad SAW juga mempunyai core-group yang membantu baginda dalam melancarkan gerak kerja baginda. Khalid al-Walid dan Hubbab al-Munzir adalah strategis peperangan. Umar al-Khattab mempunyai pandangan yang jauh. Huzaifah al-Yamani sebagai perisik. Banyak lagilah. Begitu juga Abu Bakar yang banyak membantu baginda dalam banyak hal.

Abu Bakar juga menjadikan Umar al-Khattab sebagai perancang bersama beliau. Umar tidak dibenarkan untuk keluar daripada bumi Madinah sepanjang pemerintahan beliau meskipun untuk peperangan. Pandangan Umar sangat penting untuk membantu urusan pentadbiran khilafah ketika itu.

Umar pula menjadikan sahabat-sahabat daripada 10 orang yang dijamin syurga menjadi Qaidah Sulbah.

Qaidah maksudnya kepimpinan. Sulbah pula bermaksud tulang belakang. Tulang belakang adalah tulang terpenting bagi seseorang. Apabila tulang belakang bengkok, maka ia memberi kesan yang kurang baik kepada kesihatan. Tulang belakang yang baik adalah paksi kekuatan.

Bolehkah seseorang hidup dengan sempurna sekiranya tulang belakang mereka rosak, atau bengkok? Maka begitu juga kesimpulan kepada sesebuah gerakan. Gerakan tidak akan mampu menjadi enegetik sekiranya mereka tidak memiliki kumpulan Qaidah Sulbah yang berfungsi dalam rangka yang sebetulnya.

Berikut adalah ciri-ciri ahli yang boleh menjadi Qaidah Sulbah :

• Berfikiran luas dan berpandangan jauh
• Bermaklumat
• Bijak membaca suasana dan mampu melihat daripada pelbagai sudut
• Seorang penganalisis yang baik dan kritikal
• Bukan orang yang hanya pandai mengangguk
• Penting juga ciri berpengaruh
• Berani mencabar kebiasaan dan tradisi
• Tidak takut dengan celaan yang melemahkan
• Berani berijtihad dan melakukan perubahan
• Rajin membaca dan mempunyai link yang luas

Mungkin banyak lagi ciri Qaidah Sulbah yang boleh kita perincikan. Bagaimana pula kita boleh melatih diri kita menjadi Qaidah Sulbah? Saya berikan beberapa idea :

• Sedia dilatih dengan latihan pemikiran yang lasak (Gamis ada menyediakan latihan ini)
• Bergaul dengan think-tank dan bersedia cara pemikiran mereka yang mungkin di luar adat kebiasaan
• Mesti berani melakukan perubahan
• Rajin membaca atau berdiskusi dengan orang bermaklumat
• Berani mengkritik dan mengoyak tradisi
• Belajar berfikir dan sentiasa sibukkan otak ke arah itu


Saya bersedia untuk menawarkan latihan ini untuk sesiapa yang mahukannya. Dalam masa yang sama, Qaidah Sulbah adalah orang yang beriman dan tinggi kebergantungan kepada Allah SWT serta beramal sunnah. Pengetahuan tentang agama sangat penting supaya mereka tidak melanggar sempadan syariat. Yang paling menarik, Qaidah Sulbah berani melawan ketetapan zahiriiah Quran berdasarkan ilmu yang mereka miliki.

Qaidah Sulbah juga sentiasa menyibukkan diri mereka berfikir tentang benda yang besar bukanhnya ranting. Mereka memerah minda untuk menyelesaikan the big picture of something seperti tarbiah secara gambaran besar bukannya serpihan. Anda boleh menjadi Qaidah Sulbah dengan syarat anda sedia melepasi syarat-syarat yang telah saya kemukakan di atas. Terima kasih.

Sumber : http://dzulkhairi.blogspot.com

STAR : Satu Pengenalan

Bermula dengan nama Al-Mawaddah pada tahun 2000 dan kini Kelab Surau Tun Razak dikenali sebagai Kelab STAR. Kelab STAR merupakan kelab yang bernaung di bawah Biro Kerohanian dan Tatasusila Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Razak (KTR). Kelab STAR berada di bahagian atas bangunan pejabat KTR, K01.

Semenjak ditubuhkan, Kelab STAR telah menjana pelbagai program bagi mendekatkan mahasiswa dan mahasiswi dengan Islam. Walaupun pada awalnya kurang mendapat sambutan, namun dengan semangat jitu dan kesedaran sebagai seorang Muslim, Kelab STAR terus bertahan dan berjuang untuk mencapai matlamat.

Setelah melalui proses penjenamaan semula (rebranding), Kelab STAR mula meningkat naik dan program-program yang dianjurkan juga mula mendapat sambutan yang menggalakkan. Antara program-program yang pernah mengisi takwim aktiviti STAR adalah seperti Kursus Penyembelihan Halal, Ceramah Isra’ Mi’raj, Iftar Sekampung KTR & Majlis Khatam AL-Quran, Diskusi Iman (kerjasama dengan JKSK), Jamuan Raya bersama ahli STAR dan beberapa lagi program-program sampingan.

Kini, dengan tertaklifnya pimpinan-pimpinan baru yang menerajui saf kepimpinan STAR sesi 2009 ini, Kelab STAR mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam misi amar ma’aruf nahi mungkar. Untuk itu, STAR akan terus mengatur langkah dan strategi bagi membawa obor Islam walaupun menempuh mehnah dan tribulasi.

~Menjana Mahasiswa Soleh Wa Musleh~