Friday, October 26, 2012
PENGORBANAN BUKAN SEKADAR CERITA…
Wednesday, May 9, 2012
Dik, Abang Pun Sayang | iluvislam.com
Orang perempuan memang tahu perkara ini. Ada waktunya, emosi tiba-tiba membuak-buak dan biasanya ia terjadi pada ketika Allah mahu memberi 'cuti'. Seperti ada sahaja yang tidak kena. Biarpun sudah berusaha menjadi sesabar mungkin, tetap jugalah meletus rasa yang ditahan-tahan dalam dada, dan untuk saya, saya tidak tahu mengapa suami saya jugalah yang menjadi mangsanya.
Betul, dengan suami sebaik itu saya tidak ada perkara mahu digantung ke lidah menjadi isu. Namun, pada ketika rasa itu sampai, apa sahaja perkara pun boleh menjadi isu, dan biasanya yang terjadi adalah kerana saya tidak puas dengan satu perkara ini. Anehnya, ia wujud pada saat dia mahu memujuk saya.
Dik.
"Sekurang-kurangnya, senyumlah, dik."
Aduhai suami saya yang sangat saya kasihi ini, setiap kali dia mahu memujuk, hanya itulah caranya dia memujuk. 'Senyumlah, dik'. Paling berbeza pun, dia cuma berkata, 'Maniskanlah mukamu, dik'. Hanya itulah kata-katanya berdengung menambah perit rajuk dalam hati.
Malah, tidak tahu saya daripada mana datangnya panggilan 'dik' untuk saya. Jauh-jauh hari sebelum menjadi isteri, sering-sering sahaja saya terbayang kata-kata manja untuk saya. Mungkin sahaja lelaki itu memanggil saya, 'sayang', 'ayang', 'darling', dan paling saya mahu, dipanggil, 'honey'. Terpengaruh benar saya dengan drama-drama di televisyen.
Namun, pada kali pertama dia memandang wajah saya, dia tersenyum dan berkata, "Dik, kamu sudah makan?"
Sempat jugalah saya tergamam, tetapi itu tidak apa-apa lagi kerana saya fikir mungkin dia lelaki yang gugup. Jangankah dia, saya sendiri hanya tunduk memandang inai pada ibu jari kaki sendiri. Kaku dan nafas pun ditahan-tahan.
Namun, sehari, seminggu dan sehinggalah mendapat dua anak, tetap jugalah dia memanggil saya, 'dik'.
"Dik, ikan ini kamu mahu masak apa?"
"Nanti abang belikan baru. Janganlah sedih, Dik."
"Dik, esok jangan lupa, ya."
Untuk kebanyakkan waktu juga, saya cuma diam dan kemudiannya dengan aneh suami saya akan melakukan sesuatu yang membuat saya ketawa. Sesuatu yang saya sendiri tidak faham mengapa saya menjadi sangat mudah ketawa.
Sehinggalah pada hari itu, pada ketika rasa itu datang lagi. Sayadengan tidak tahan lagi berkata, "Abang ini, dari dahulu sampai sekarang asyik memanggil saya, dik. Dik. Dik. Tidak adakah kata-kata lain yang lebih kasih bunyinya?"
Suami saya yang saya kasihi itu terdiam lama sebelum berkata, "Maafkan abang, dik. Tidak tahu abang kata-kata apa lagi yang lebih kasih daripada itu. Maafkan juga kerana selama ini, abang hanya fikirkan dengan melengkapkan segala keperluan rumah ini, akan membuatkan kamu bahagia. Terima kasih kerana mengingatkan abang, dik, kerana apa yang diperlukan oleh hati itulah yang lebih utama."
Saya diam. Saya berasa puas, namun tetap juga ada berasa kesal. Apalah salah suami saya ini sehingga perlu saya merajuk begini.
Lalu terjadilah detik itu apabila dia berkata, "Janganlah merajuk lagi, sayangku."
Tidak tahu saya, terus sahaja saya ketawa sehingga keluar air mata. Entah mengapa kata-kata suami saya itu terdengar sangat lucu. Rajuk saya hilang, bertukar rasa yang bertambah sayang kepada dia.
Itulah yang sering-sering berlaku dalam hidup saya. Pada ketika saya merajuk, dan mengharapkan dia memujuk, dia seringkali gagal memujuk dengan cara yang saya fikirkan tetapi akhirnya tetap juga saya ketawa dan rajuk pun hilang.
Lalu pada hari itu, saya ceritakan perkara itu kepada ibu dan ibu segera memarahi saya, "Hal rumahtangga kamu, jangan ceritakan kepada orang lain, walaupun dengan ibu sendiri. Kamu sekarang adalah milik suami kamu."
Tersentak dengan itu saya berkata, "Ibu, saya bukan mahu ceritakan hal rumahtangga saya. Saya cuma mahu minta pandangan ibu, mengapa saya begitu? Adakah normal?"
Ibu tersenyum.
"Anakku, suatu hari ada sorang lelaki mahu mengadu kepada Saidinar Umar R.A berkenaan isterinya yang suka membebel padanya, tetapi sebaik sahaja melihat Khalifah Islam yang paling garang dan digeruni musuh itu, lelaki itu membatalkan hasratnya dan terus pulang.
Ini kerana, semasa beliau hendak masuk berjumpa Saidina Umar, beliau terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel kepada Khalifah Islam itu. Sedangngkan khalifah pun sedang dibebel isterinya, apalah yang dia mampu tolong lagi?
Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, "Apa hajat kamu datang ke mari?"
Lelaki tadi menjawab, "Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu."
Saidina Umar tersenyum lalu berkata, "Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri)."
Jadi, adalah normal kita perempuan ini terkadang membebel, tetapi bukanlah bermakna hari-hari begitu. Sekiranya hari-hari, itu namanya perempuan sakit. Iyalah, kepada siapa lagi kita mahu mengadu selain kepada suami sendiri. Lagipula, kita perempuan ini, semarah mana pun kita, tetap sahaja kita sayang kepada suami.
"Jadi, adakah suami saya itu sebenarnya sedang mencontohi Saidina Umar?" soal saya segera, kerana hati saya menjadi sangat lapang mendengarnya.
"Ibu tidak tahu. Tetapi ibu tahu seperkara. Memang benar, Allah tidak memberikan kamu suami yang kaya, yang tinggi sekolahnya, yang kacak rupanya, tetapi Allah kurniakan kamu suami yang taat kepada-Nya dan ikhlas mengasihi kamu. Kerana taat dan ikhlasnya itu, Allah mudahkan dia dengan memudahkan hati kamu lembut dan hilang rajuk. Lembut hati kamu untuk ketawa dan lembut hati kamu untuk kembali ceria. Kamu sangat beruntung, kerana kamu juga mendapat tempiasnya. Ingatlah, keluarga yang gembira bermula dengan isteri yang gembira, dan kamu sudah memperolehnya."
Hati saya semakin berbunga-bunga, sepertinya cinta saya kepada suami kembali basah, dan tidak sabar mahu sampai ke rumah, menunggu pulangnya suami saya. Sampai sahaja suami saya di depan pintu terus dia berkata, "Dik, kamu sudah makan?"
Saya tidak menjawab soalannya, sebaliknya terus meluru memeluk dia dengan erat-erat, dan saya tidak mahu lepas. Terima kasih Tuhan, kerana memberikan suami ini.
"Dik, kamu mengapa, dik?"
"Saya sayang...." Tidak mampu saya meneruskan kata-kata saya, kerana sudah ada air mata bening yang tumpah ruah daripada mata.
"Dik, abang pun sayang. Jangan menangis, dik."
Friday, March 23, 2012
13 Wasiat Rasulullah S.A.W kepada Ali R.A

RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib. Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimindan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman.
Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: “Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:”
1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal’un).
2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah’. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.
3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: “Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta” ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: “Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia”.
4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.
5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.
6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.
9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.
10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.
11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.
12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau
dikasihi seluruh isi langit dan bumi.
13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.
Wahai Ali, pelharakanlah wasiatku, engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasa. Insya Allah. Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing.
Friday, March 2, 2012
Tip Gembira Sepanjang Masa
Kesegaran dan minda positif hari mampu menambahkan semangat bagi melakukan tugasan seharian. Indahnya Islam membawakan nilai dan motivasi positif bagi umatnya sentiasa ceria dan gembira dalam tugasan seharian.
Perkara terbaik yang boleh dilakukan selepas membuka mata di pagi hari adalah:
1. BersyukurBersyukur kerana anda masih diberi nafas pagi ini bagi melihat matahari dan menghirup segarnya udara kurniaan Allah. Bersyukur juga kerana anda masih diberi kesempatan bagi melakukan dan menjadi yang terbaik dan pastinya lebih baik daripada yang semalam.
2. Tekad Bermotivasi.
Ucapkan dalam hati dan kepada diri yang anda mahu bersemangat sepenuhnya. Dengarkan dan baca bahan bermotivasi sebelum memulakan tugas. Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
3. Tingkatkan motivasi diri dengan mencari motivasi terbaik. Motivasi harus dijaga. Motivasi sekiranya tidak dipelihara akan menjadikan kita tidak bersemangat.4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.Mulakan setiap tugasan yang ingin dilakukan dengan bismillah. Bismillah dapat menjauhkan kita daripada bisikan syaitan dan perasaan was-was.
5. Mulakan hari dengan ubah sikap. Tetapkan apa yang mahu dicapai.
6. Maafkan semua orangSebelum dan selepas bangun daripada tidur, maafkan insan di sekeliling kita. Memaafkan dapat menghilangkan segala kerungsingan dan keresahan hidup. Hati juga akan menjadi tenang dan tenteram apabila kita memaafkan insan lain.
7. Berani dan bersedia untuk berubah dan berhijrah bagi Kecemerlangan Hidup. Sentiasa yakin Allah sebagai pelindung kita. Hakikatnya kita sendiri yang dapat mengubah kehidupan kita.
Antara Tanggungjawab dan Amanah Mahasiswa
"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangungjawab dan amanah.
Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.
Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13
Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a) Keimanan
b) Keikhlasan
c) Semangat
d) Usaha
Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangat ialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.
Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu
Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.
Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.
Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.
Keutamaan Mahasiswa
Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.
Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.
Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.
Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.
Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".
Angin perubahan
Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.
Tip menghadapi Stres
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan bertujuan bagi mengurangkan tekanan:
01.
Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Tugas yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan.
02.
Al-Quran jadikan amalan
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
03.
Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
04.
Selalu berdoa kepada Allah
Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
05.
Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
06.
Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.
07.
Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
08.
Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
09.
Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
Tuesday, February 28, 2012
Sedikit dari Banyak yang Harus Kita Ketahui
Pemuda Beribu Bapakan Babi