Saturday, January 22, 2011

APA ERTINYA DAKU DALAM ISLAM



Alhamdulillah.Bersyukur daku kerana masih lagi hidup dalam Islam,mengucap syahadah dengan kalimah yang mulia di sisimu Ya Allah,bernafas dalam Islam,beramal dalam Islam,menuntut ilmu dalam Islam dan masih lagi menjadi penganut agamaMu yang setia Ya Allah.

Dalam daku mengejar cita-cita syurgaMu yang tertinggi dan mengharapkan setiap titisan darah syahid di jalanMu, Daku masih lagi leka dan alpa dengan nikmat dunia yang diberi tanpa diminta, dan yang maha pemberi,’Al Wahhab’ sentiasa memberi tanpa mengurangkan kekuasaannya.Terus memberi dan memberi.Di dalam benakku ini, terlintas rasa musykil dan hairan, adakah yang maha memberi tidak mengharapkan pulangan dalam kalangan hambaNya.Lalu daku terfikir, apa ertinya daku seorang muslim?apa tujuan daku hidup di dunia ini?adakah agama yang daku anuti ini bertepatan dengan kehendakMu Ya Robb? Soalan terakhir, ke manakah daku akan pergi selepas daku hidup di alam ini?

Persoalan-persoalan tersebut sering memenuhi kotak fikiranku, dan lebih membimbangkan, apakah jawapan bagi soalan-soalan tersebut.Nah, sudah tentunya terdapat banyak jawapan bagi soalan-soalan tersebut.Allah memberi tanpa diminta kerana itu sememangnya sifat kesempurnaan Allah khas ditujukan untuk hambaNya.Pemberian Allah tidak akan berkurang kerana Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya dan Allah memberi tanpa mengharapkan pulangan kerana Allah ingin memenuhi permintaan terbaik untuk hambaNya.Beruntunglah daku kerana mempunyai pencipta yang maha agung,yang maha pemurah,yang maha penyayang dan yang paling penting adalah yang maha pemberi.

Kekusutan daku mengenai apa ertinya daku seorang muslim akan terbalas dengan tujuan Allah menciptakan daku untuk mengabdikan diri kepadaNya dan menjadi khalifah di bumi ini.Tanpa daku sedari,tidak banyak tujuan Allah jadikan daku di atas muka bumi ini.Hanya dua jari sahaja untuk menggambarkan tujuan daku hidup.Aduh, bagaimana daku ingin memenuhi tujuan tersebut?Bukannya jawapan, bahkan persoalan lain yang timbul.Tentunya cara yang terbaik adalah dengan mengamalkan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.Mudah bukan?Sudah tentunya terdapat panduan untuk melaksanakan tuntutan tersebut, iaitu dengan pegangan agama Islam yang di bawa, berlandaskan al-Quran dan Sunnah,mengikuti syariat Allah dan yang paling penting adalah beriman dengan Allah.Hanya orang yang beriman sahaja yang akan yakin dan percaya dengan janji-janji Allah,suruhan-suruhan Allah dan larangan-laranganNya.

Daku hidup membesar,diberikan akal fikiran yang waras bahkan diberikan pilihan untuk memilih agama apa yang perlu aku anuti.Terdapat banyak agama di muka bumi ini,Kristian,Buddha,Masehi dan sebagainya.Kebanyakan agama yang lain dibangsakan kepada nama seorang lelaki yang khas.Agama Masehi mengambil namanya daripada Al Masih a.s.Agama Buddha diambil daripada pembawanya, Gautama Budha.Berlainan dengan agama Islam.Ia tidak dibangsakan kpada seorang lelaki yang khas dan tidak kepada ummat yang tertentu.Agama Islam untuk semua bangsa di muka ini,untuk semua umat di dunia, untuk semua hamba-hambaNya.Ya Allah, beruntungnya daku kerana masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk memeluk agama yang suci ini.

Ke manakah aku akan pergi selepas aku hidup di alam ini?Pasti!Alam akhirat bakal menjelma.Setiap yang hidup akan menemui ajalnya,setiap permulaan ada pengahirannya,setiap yang bernyawa,akan dicabut nyawanya tanpa diketahui masa,tempat dan bagaimana caranya.Ayuhlah,sahabat-sahabat seagamaku,sahabat-sahabat sedarah merah sama bersamaku bangun dan bangkit bersedia menghadapi hari kemudian,bersiap siagakan diri untuk setiap detik,masa dan ketika mencari dan beriman dengan sifat-sifat Allah,beramal dengan suruhannya agar apabila daku ditanya dengan malaikat maut, “Ma robbuka”, daku mampu membuka mulut untuk menjawab Allah.

No comments:

Post a Comment